ALOR SETAR – Kerajaan dan menteri perlu mengelakkan kesilapan kecil seperti isu montaj masjid dalam video Tahun Melawat Malaysia 2026 yang boleh membawa kepada polemik besar dan menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menggambarkan imej negatif.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata,kesilapan teknikal atau apa jua alasan boleh membawa kepada polemik besar perlu dielakkan kerana arena politik kini banyak diwarnai oleh penunggang politik yang tidak bertanggungjawab.
“UMNO Kedah menganggap ketiadaan montaj masjid dalam tayangan gimik Tahun Melawat Malaysia mungkin disifatkan sebagai kesilapan teknikal tanpa agenda tersembunyi, namun kesilapan tersebut harus dielakkan pada masa akan datang.
“Menteri dan pentadbiran Kementerian wajar lebih sensitif kerana kesilapan kecil ini mampu dimanipulasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
“UMNO Kedah menyeru agar sebarang bentuk promosi dan tindakan mengambil kira sensitiviti tertentu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Shaiful Hazizy, UMNO Kedah bimbang budaya politik tunggang dan manipulasi murahan akan menjadi budaya berkekalan dalam amalan politik negara.
Jelasnya, budaya ini, jika tidak dibendung, akan menghakis prioriti utama iaitu politik berpaksikan polisi dan keperluan terbaik untuk rakyat dan negara.