ALOR SETAR – Perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membela nasib golongan miskin sudah terserlah sejak beliau dilantik menjadi menteri kabinet empat dekad lalu.
Pengarah Eksekutif IDE Research Center, Amidi Abdul Manan, berkata kewibawaan Perdana Menteri itu turut diakui Ketua Penasihat Bangladesh, Prof Muhammad Yunus ketika menjadi panel dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland yang turut dihadiri Anwar baru-baru ini.
“Yunus memberi contoh
mengenai Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang merupakan satu bukti hidup betapa komitednya Perdana Menteri dalam mengangkat martabat kumpulan rentan miskin di negara ini, Malaysia.
“Beliau (Yunus) yang merupakan pengasas Grameen Bank di Bangladesh telah berjaya mengeluarkan beribu-ribu orang dari kelompok miskin tegar. Beliau telah mendapat Anugerah Nobel melalui usaha ini.
“Pinjaman mikro-kredit yang diberikan bersama bimbingan mingguan kepada peserta telah berjaya mengubah status ekonomi mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menyingkap kembali perjuangan Perdana Menteri, Amidi berkata
pada 1974, Anwar yang ketika itu selaku pemimpin mahasiswa bergerak ke Baling, berdemonstrasi membela nasib pekebun kecil getah yang miskin terhimpit kerana kejatuhan harga getah ketika itu.
Katanya, Anwar ketika menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1987 juga telah mengarahkan Universiti Sains Malaysia (USM) yang ketika itu berada di bawah kementeriannya untuk melakukan kajian berkaitan kesesuaian konsep Bank Grameen ini.
“Kajian ini diketuai oleh Prof Dr Shukor Kassim dan Dr Gibbon yang akhirnya membawa kepada penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Jika ditelusuri lagi, kita akan bertemu perjuangan Perdana Menteri dalam membela golongan miskin ini ketika beliau sebagai Menteri Pertanian.
“Beliau menggerakkan aktiviti Pasar Tani yang bertujuan memerangi penindasan orang tengah terhadap golongan petani miskin di luar bandar, ini berlaku pada tahun 1985,” jelas beliau.
Menyentuh mengenai definisi ihsan, Amidi berkata Perdana Menteri sudah menjelaskan perkara itu dalam buku tulisannya bertajuk Membangun Negara Madani yang diterbitkan pada 2022.
Katanya, Anwar menyebut perasaan ihsan itu adalah soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain lalu berusaha untuk mencari jalan bagi mengubatinya.
“Kini beliau (Anwar) berperang dengan kartel dalam pelbagai bentuk, beliau bertungkus-lumus menyusun kembali ekonomi yang telah dirosakkan oleh para penindas rakyat.
“Maka benarlah apa yang pernah diungkapkan bahawa nukilan beliau dalam buku itu bahawasanya kerangka Madani merupakan kemuncak kepada pengalaman selama empat dekad dalam perkhidmatan awam dan belasan tahun yang dihabiskan bagi memikirkan tentang negara ini dan masa hadapannya.
“Madani bukan slogan tetapi adalah satu terjemahan taat setia dan kasih sayang seorang pejuang terhadap negaranya, Malaysia,” kata beliau.
Ends