ALOR SETAR:Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi peranan luar biasa dua wanita terpenting dalam hidupnya iaitu ibu, Allahyarhamah Che Yan Hamid Hussein, dan isteri tercinta, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Perdana Menteri berkata mereka adalah tulang belakangnya dan sumber kekuatan dalam menuntut keadilan serta meneruskan perjuangan demi rakyat.
“Hari ini, kita meraikan keberanian, pengorbanan dan peranan luar biasa wanita dalam membentuk masyarakat yang lebih adil dan sejahtera.
“Semoga kita terus memperjuangkan hak dan martabat wanita, memastikan mereka diberi ruang dan peluang yang saksama dalam semua aspek kehidupan.
“Selamat Hari Wanita,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut memuat naik gambar kenangannya bersama arwah ibu dan isteri.
Sementara itu, orang ramai yang melihat hantaran Perdana Menteri menyifatkan beliau sebagai seorang insan yang menghargai wanita yang mengharungi susah senang bersamanya.
Bagi Rashidah Ismail, 46, sebagai suri rumah dia sendiri rasa tersentuh dengan perkongsian Perdana Menteri di media sosialnya.
“Semoga ia menjadi contoh kepada orang ramai untuk menghargai isteri dan ibu kita, isteri dan ibu merupakan asas dalam membentuk nilai-nilai murni anak-anak,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Nurul Imani Abdul Hamid, 29, berkata dia turut merasa dihargai dengan perkongsian Perdana Menteri hari ini.
Katanya, peranan dan sumbangan wanita kepada negara tidak lagi perlu disangkal.