SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyelar pihak yang sering memainkan sentimen perkauman dalam politik negara, menyifatkannya sebagai taktik terdesak atau “desperado” untuk meraih sokongan.
Beliau menegaskan bahawa tuduhan kononnya kerajaan lemah dan tunduk kepada DAP hanyalah naratif palsu yang direka untuk menakutkan rakyat, khususnya masyarakat Melayu.
Berucap dalam Kongres DAP Ke-18 di sini hari ini, Anwar menegaskan bahawa pentadbiran beliau tidak terlibat dalam sebarang skandal rasuah atau salah guna kuasa, sebaliknya hanya berdepan dengan dakwaan berbentuk perkauman yang sengaja diperbesarkan.
“Tiada skandal membabitkan pimpinan negara, rasuah, atau salah guna kuasa, tetapi yang ada ialah memperalatkan isu kaum,” katanya.
Anwar menyifatkan tindakan pihak tertentu yang terus memainkan sentimen perkauman sebagai langkah politik ketinggalan zaman.
Katanya, mereka tidak membahaskan dasar kerajaan secara berhemah, sebaliknya hanya menimbulkan kebimbangan terhadap “kemaraan” kaum tertentu, terutamanya yang dikaitkan dengan DAP.
“Tiada kritikan dasar atau pandangan baharu, tetapi bawa gendang lama, menakutkan masyarakat Melayu mengenai kemaraan kelompok Cina, apatah lagi yang diperjuangkan dengan lambang DAP,” jelasnya.
Menurutnya, dakwaan bahawa kerajaan tunduk kepada DAP adalah tidak berasas, memandangkan parti-parti yang kini menuduh kerajaan pernah bekerjasama dengan DAP sebelum ini.
“Dalam Pakatan Rakyat dulu, hampir 15 tahun PAS bersama DAP.
“Semasa PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang sekarang Bersatu pernah duduk semeja dengan pimpinan DAP,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa isu perkauman yang dimainkan bukanlah gambaran sebenar keadaan politik negara.
Sebaliknya, ia adalah naratif yang direka untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada perbincangan dasar yang lebih penting.