KUALA LUMPUR – Tragedi kebakaran luar biasa yang melanda kawasan perumahan di Putra Heights, di sini telah menyebabkan kemusnahan besar, dan terdapat penduduk kehilangan tempat tinggal dan mengalami kecederaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa serta memberikan jaminan bahawa kerajaan akan mengambil langkah segera bagi membantu mereka.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai segera kepada mangsa yang terjejas.
“Keutamaan tertinggi Kerajaan MADANI saat ini adalah memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights dan yang dirawat di beberapa hospital.
“Sebagai langkah awal, saya umum bantuan tunai segera berjumlah RM5,000 untuk kediaman yang musnah sepenuhnya akibat kebakaran ini, serta RM2,500 untuk kediaman yang terjejas sebahagian,” katanya.
Melihat kepada kesan kemusnahan yang berlaku, kerajaan sedang merangka pelan pemulihan jangka panjang bagi memastikan penduduk yang terjejas dapat kembali ke kehidupan normal secepat mungkin.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan, dengan kerjasama Petronas dan Kerajaan Negeri, akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam usaha membangunkan semula kawasan perumahan yang terjejas.
Semua agensi berkaitan juga telah diarahkan untuk mengadakan perbincangan segera dengan wakil penduduk bagi meneliti langkah-langkah seterusnya.
Dalam tragedi ini, Perdana Menteri turut memberikan penghargaan kepada pasukan bomba, polis, dan pihak berkuasa tempatan yang bertindak pantas dalam memadam kebakaran serta menyelamatkan penduduk.
Beliau juga berterima kasih kepada Masjid Putra Heights dan Kuil Sri Maha Kaliamman yang telah memberikan bantuan kepada mangsa tanpa mengira latar belakang mereka, mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan negara dalam menghadapi situasi sukar.
Wan Azizah telah mengunjungi Hospital Serdang untuk menziarahi beberapa mangsa yang sedang menerima rawatan.
Perdana Menteri dan isteri turut mendoakan agar semua mangsa diberi kesembuhan dengan segera.