Ketua AMK Lembah Pantai, Amelia Zainabila Zaiffri.
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lembah Pantai menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mempamerkan Jalur Gemilang tidak lengkap di sebuah pameran di ibu negara, baru-baru ini.
Ketua AMK Lembah Pantai, Amelia Zainabila Zaiffri, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu dilihat seolah-olah mencetuskan provokasi dan perlu ditangani secara tegas agar tidak berulang pada masa akan datang.
“Kekerapan insiden membabitkan Jalur Gemilang sejak kebelakangan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan kedaulatan serta keharmonian negara.
“Kami membuat laporan polis merujuk peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta 414 dan Seksyen 3 Akta 193 yang mengawal paparan lambang kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.
Menurut Amelia, laporan dibuat selepas beliau menerima satu kandungan di aplikasi WhatsApp yang menunjukkan dekorasi pentas utama Pameran Bayi di tingkat tiga Mid Valley Megamall, yang memaparkan Bendera Malaysia dalam keadaan tidak lengkap, seperti yang telah tular di media sosial,” katanya.
Tambah beliau, imej yang dipaparkan itu jelas bertentangan dengan undang-undang kerana menampilkan bendera kebangsaan dalam bentuk yang telah diubah, dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta 414.
“Pihak berkuasa perlu menyiasat dan mengenal pasti syarikat yang bertanggungjawab serta memastikan tindakan undang-undang diambil agar perkara sebegini tidak dipandang ringan,” katanya lagi.
Dalam pada itu pempamer di pameran bayi berkenaan telah membuat permohonan maaf dan bertindak menutup booth jualan mereka serta-merta.