Tuesday, 22, April, 2025
Utama Politik Hujah Presiden PAS luar konteks, mengelirukan – PKR

Hujah Presiden PAS luar konteks, mengelirukan – PKR

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang , yang menyeru penangguhan ibadah haji atau umrah demi kemenangan politik Islam sebagai hujah yang diambil di luar konteks dan berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan, Amidi Abdul Manan , berkata hujah Abdul Hadi yang menggunakan Perjanjian Hudaibiyah sebagai rujukan untuk menyokong seruan tersebut adalah tidak relevan dan jauh menyimpang daripada tujuan sebenar Rasulullah s.a.w.

“Rasulullah S.AW keluar dari Madinah dengan niat yang jelas untuk menunaikan ibadah umrah, bukan untuk berpolitik. Baginda berihram di Bir Ali sebagai tanda ketulusan niatnya, dan orang yang berihram dilarang berperang, apatah lagi dalam bulan haram seperti Zulkaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan media melaporkan Abdul Hadi memberi signal supaya masyarakat Islam di negara ini memberi keutamaan pada kemenangan politik berbanding hasrat menunaikan ibadah haji atau umrah.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Marang ketika menyampaikan ucapan dalam Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, Tapah.

Amidi menegaskan bahawa perbandingan antara PRK dan perjuangan Rasulullah S.A.W menentang kafir Quraisy adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Rasulullah S.A.W tidak pernah mengizinkan perjuangan murni Islam difitnah atau disalah tafsir. Baginda mematuhi tradisi larangan berperang dalam bulan haram untuk menjaga nama baik dakwah Islam,” jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Abdul Hadi sekali lagi menggunakan agama untuk mengkafirkan pihak lawan , termasuk calon UMNO yang bertanding dalam PRK DUN Ayer Kuning.

Menurut Amidi, UMNO dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah memusuhi Islam, malah kedua-duanya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjunjung Islam sebagai agama rasmi.

“BN dan PH melafazkan sumpah yang sama seperti Abdul Hadi, jadi kenyataan beliau yang menyamakan pertembungan politik dengan perjuangan Rasulullah S.A.W adalah lebih teruk daripada merapu,” katanya.

Amidi menyeru masyarakat untuk menjadi pentaksub Allah dan Rasulullah , bukan pentaksub individu seperti Abdul Hadi.

“Marilah kita memahami perjuangan sebenar Rasulullah S.A.W yang penuh ketulusan dan keikhlasan, tanpa sebarang perkiraan politik. Jangan kita terpengaruh dengan hujah yang mengelirukan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com