KUALA LUMPUR: Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan komited berjumlah RM41.4 bilion bagi tahun 2024, meningkat 11 peratus berbanding RM37.2 bilion pada tahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, berkata jumlah berkenaan adalah pencapaian tertinggi sejak penubuhan Iskandar Malaysia.
“Tahun lalu, nilai pelaburan yang direalisasikan mencecah RM26.7 bilion, dengan pelaburan asing sebanyak RM36.1 bilion manakala pelaburan domestik berjumlah RM5.3 bilion.
“Pencapaian ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Iskandar Malaysia semakin kukuh,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat ke-34 Ahli Pihak Berkuasa, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), hari ini.
Anwar turut menegaskan kepentingan koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi dan ketidaktentuan perdagangan global ketika ini.