Wednesday, 7, May, 2025
Utama Politik Sokongan terbuka buat Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR

Sokongan terbuka buat Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pemilihan 2025 semakin mendapat momentum , apabila beberapa pemimpin cabang parti menyatakan pendirian secara terbuka.

Pemimpin-pemimpin dari pelbagai negeri melihat Nurul Izzah sebagai figur reformasi yang mampu membawa PKR ke tahap lebih progresif , berdasarkan pengalaman luasnya dalam kepimpinan parti dan perjuangan sejak lebih dua dekad lalu.

Ketua Cabang PKR Pulai, Muhammad Faezuddin Mohd Puad , menyambut baik pencalonan Nurul Izzah dengan menyatakan bahawa beliau bukan sekadar anak kepada tokoh reformasi tetapi pejuang yang membina kredibiliti sendiri melalui kerja keras dan prinsip yang jelas .

Lima Ketua Cabang PKR Melaka turut memberikan sokongan penuh iaitu Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya), Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan (Alor Gajah), Azlan Osman (Tangga Batu) dan Jagatheason Ramiah (Jasin), dan Md Yusoff Ahmad (Kota Melaka)

Menurut mereka, PKR perlu kepimpinan yang memahami sejarah perjuangan reformasi serta mampu menterjemah aspirasi rakyat dengan lebih berkesan, dan Nurul Izzah adalah calon terbaik untuk peranan itu.

Di Sabah, Lee Li Mei, Ketua Cabang Kota Kinabalu, menegaskan bahawa KEADILAN memerlukan pemimpin yang berani, berprinsip dan berwawasan, dan Nurul Izzah telah membuktikan ketokohannya sejak awal perjuangan reformasi.

Manakala di Perak, Dr Ahmad Safwan Mohamad, Ketua Cabang KEADILAN Gerik , menyatakan bahawa kepimpinan masa depan PKR perlu memiliki kefahaman sejarah, ketajaman dasar dan keberanian moral , dan menyokong pencalonan Nurul Izzah berdasarkan kredibiliti serta pengalamannya dalam parti.

Pemimpin cabang PKR sepakat bahawa parti perlu memacu perubahan dengan kepimpinan yang bukan sahaja memahami sejarah perjuangan tetapi juga mampu membawa nilai reformasi ke hadapan .

Dengan latar belakang sebagai bekas Naib Presiden PKR, Ahli Parlimen dan aktivis reformasi , Nurul Izzah dilihat sebagai sosok yang mampu mencorak masa depan parti dengan nilai progresif dan inklusif serta meneruskan legasi perjuangan reformasi .

Sokongan terhadap Nurul Izzah sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025–2028 semakin kuat, dengan pemimpin cabang parti dari Melaka, Pulai, Sabah dan Perak mengiktiraf pengalamannya serta keupayaannya untuk membawa PKR ke tahap lebih baik .

Dengan rekod perkhidmatan yang konsisten dan komitmen terhadap perjuangan reformasi, Nurul Izzah dilihat sebagai calon yang berpotensi besar untuk menggalas tanggungjawab kepimpinan lebih tinggi dalam parti .

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com