Friday, 9, May, 2025
Utama Politik Nurul Izzah terima sokongan terbuka AMK Kedah

Nurul Izzah terima sokongan terbuka AMK Kedah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR:Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah hari ini menyatakan sokongan terbuka terhadap Nurul Izzah Anwar untuk dicalonkan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2025 hingga 2028.

Sokongan itu dinyatakan menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Ketua AMK Kedah, Dr. Mohammed Taufiq Johari yang menyifatkan Nurul Izzah sebagai pemimpin berprinsip, berwibawa serta memiliki keteguhan dalam perjuangan sejak awal gerakan Reformasi bermula.

Menurut beliau, Nurul Izzah atau lebih dikenali sebagai ‘Puteri Reformasi’, merupakan tokoh politik wanita yang mencetus inspirasi, khususnya dalam kalangan generasi muda dan golongan wanita di negara ini.

“Langkah politik beliau bermula sejak tahun 1998 ketika tercetusnya gerakan Reformasi yang menuntut keadilan serta menolak kepimpinan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa. Momen itu menjadi titik tolak perjuangan politik beliau yang kekal hingga kini.

“Beliau bukan sekadar pemimpin wanita, tetapi lambang keteguhan dan keberanian yang membawa semangat reformasi ke dalam sistem politik negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Jelasnya, Nurul Izzah juga mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai jawatan penting di peringkat parti mahupun luar parti dan terbukti mampu memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam barisan kepimpinan tertinggi PKR.

“Dengan latar belakang yang mantap, keteguhan prinsip dan iltizam terhadap perubahan, AMK Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden bagi penggal akan datang.

“Beliau mempunyai visi jelas untuk masa depan Malaysia yang lebih adil, demokrasi yang lebih terbuka serta pentadbiran yang berintegriti,” ujarnya.

Tambahnya lagi, AMK Kedah yakin kepimpinan muda yang berwibawa dan berpandangan jauh seperti Nurul Izzah mampu memperkukuh struktur parti serta membawa semangat Reformasi ke peringkat yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com