Tuesday, 13, May, 2025
Utama Politik Pemilihan PKR 2025 ‘pertarungan sahabat setia’ – Anwar

Pemilihan PKR 2025 ‘pertarungan sahabat setia’ – Anwar

oleh Ammar Haziq

TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Pemilihan PKR 2025 sebagai ‘pertarungan antara rakan-rakan setia’ yang perlu diraikan dalam semangat persaudaraan dan perjuangan reformasi.

Menurut Anwar yang juga Presiden PKR, semua calon yang bertanding adalah tokoh berpengalaman yang telah lama bersama perjuangan parti, justeru proses pemilihan harus berlangsung dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

“Pemilihan ini adalah antara sahabat-sahabat lama, tokoh-tokoh reformasi yang setia sejak awal. Kita harus berhati-hati agar tidak terlanjur dalam berkempen kerana akhirnya, kita mahu jadikan proses ini sebagai kekuatan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, di sini hari ini.

Anwar turut mengingatkan penyokong calon agar tidak berlebihan ketika berkempen sehingga menjejaskan keharmonian dalam parti.

“Ini (PKR) adalah keluarga besar yang harus terus diperkukuh. Bila Kongres selesai, kita mesti kembali bekerja sebagai satu pasukan yang padu,” katanya.

Proses pencalonan yang berakhir Jumaat lalu menyaksikan Anwar kekal tanpa pencabar bagi jawatan Presiden. Namun, persaingan dijangka sengit bagi jawatan Timbalan Presiden apabila Nurul Izzah Anwar dijadual berentap dengan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.

Jawatan Naib Presiden pula menyaksikan saingan 12 calon termasuk empat penyandang iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Mat; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Bagi sayap parti, Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan menang tanpa bertanding sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan antara Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Kongres Nasional PKR akan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, dengan proses pengundian ditetapkan pada 23 Mei.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com