Saturday, 17, May, 2025
Utama Politik Kekalkan Rafizi demi kestabilan kepimpinan PKR – Nik Nazmi

Kekalkan Rafizi demi kestabilan kepimpinan PKR – Nik Nazmi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kepimpinan sedia ada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu dipertahankan bagi menjamin kesinambungan dan kekuatan parti menghadapi cabaran politik semasa, kata Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, gandingan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden dan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden telah membuktikan keberkesanan dalam menyusun strategi parti dan memenangi sokongan rakyat.

“Kita sepatutnya, bagi saya, kekalkan saudara Rafizi sebagai Timbalan Presiden. Tugas kita di luar sana hendak menang pilihan raya bukan mudah.

“Kadang-kadang bila kita dah jadi kerajaan, kita jadi syok sendiri… kita rasa semua orang suka kita. Tapi bila dah tak jadi menteri, orang pun tak pandang kita dah,” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa program Jelajah Hiruk Rafizi Ramli Zon Kelantan dan Terengganu yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

Tambah beliau, rakyat yang memberi mandat kepada parti juga mampu menarik kembali kepercayaan tersebut jika parti hilang fokus terhadap tanggungjawabnya.

“Gabungan terbaik adalah antara Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Rafizi. Kita tak mahu tindakan kita dalam pemilihan ini meletakkan parti dalam keadaan defensif. Sebaliknya, kita mesti berani ke hadapan,” tegas beliau.

Nik Nazmi turut menegaskan bahawa mesej perjuangan serta pencapaian kerajaan perlu diterjemahkan dengan lebih berkesan kepada rakyat bagi menangkis serangan pembangkang dan memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com