Monday, 26, May, 2025
Utama Politik Bukan nepotisme, tapi pengorbanan – Anwar pertahan Azizah dan Izzah

Bukan nepotisme, tapi pengorbanan – Anwar pertahan Azizah dan Izzah

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tampil menjawab dakwaan lama yang mengaitkan keluarganya dengan isu nepotisme dalam kepimpinan parti, sambil menegaskan bahawa ia tidak berasas dan berlaku dalam keadaan mendesak ketika beliau dipenjarakan.

Menurut Anwar yang juga Perdana Menteri, tanggungjawab yang digalas isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika itu bukanlah hasil perancangan keluarga, sebaliknya satu keperluan untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti.

“Bagi pihak Azizah yang memegang benteng kepimpinan PKR agak lama, saya ucapkan terima kasih. Orang bangkitkan isu isteri dan anak, tetapi waktu kita bertempur dulu, PKR tiada kongres, tiada perbincangan panjang,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, pada Sabtu.

Katanya, ketika PKR ditubuhkan dalam suasana penuh tekanan dan kekangan, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Wan Azizah, memandangkan dirinya sedang menjalani hukuman penjara.

“Siapa hendak pegang obor waktu itu? Saya lepaskan sahaja kerana saya masuk penjara. Ketika itu, tiada dana, tiada jentera parti. Maka tidak timbul isu keluarga dan nepotisme,” jelasnya.

Tambahnya, dalam situasi getir itu, anak mereka Nurul Izzah turut memainkan peranan besar apabila sanggup mengorbankan pengajian di universiti demi membantu parti.

“Saya bangkitkan perkara ini agar ahli-ahli bertanya kepada mereka yang lama dalam parti. Ketika itu, apa pilihan kita? Siapa yang sanggup pegang obor?

“Azizah memimpin, dan Izzah pula, dalam keadaan terpaksa, tinggalkan universiti dan turun padang ke sana sini sebagai seorang dewasa,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa peranan Nurul Izzah bukan dipilih oleh beliau sendiri, sebaliknya oleh anggota parti yang percaya kepada kemampuannya.

“Ya, Azizah saya pilih pada waktu itu kerana keadaan mendesak. Tapi Nurul Izzah, saudara-saudari yang pilih,” tegasnya lagi.

Dalam ucapan yang penuh semangat itu, Anwar turut mengingatkan seluruh ahli PKR agar tidak leka dan terus mengukuhkan perjuangan parti dengan kerja keras dan keikhlasan.

“Saya ingatkan, teruskan bekerja. Tiada jaminan masa depan seseorang melainkan dengan kerja dan amal. Saya masih di sini, selagi ada kudrat dan kesihatan yang mengizinkan,” katanya.

Ucapan Anwar disambut dengan tepukan gemuruh daripada para perwakilan, menandakan sokongan padu terhadap kepimpinan beliau dan pengorbanan yang telah dibuat oleh keluarganya demi kelangsungan perjuangan reformasi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com