Friday, 3, May, 2024
Utama Politik PRN Kedah : persediaan jentera UMNO, BN pada tahap tinggi

PRN Kedah : persediaan jentera UMNO, BN pada tahap tinggi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Persediaan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah kini berada pada tahap yang tinggi.

Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pola pengundian pada PRN kali ini juga mungkin ada perubahan untuk memperkemaskan pentadbiran.

“Semasa PRU15, semua orang berlumba-lumba membentuk kerajaan Persekutuan tetapi kini kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri masih utuh, tidak kira apa yang berlaku (dalam pilihan raya negeri) kerajaan Persekutuan kekal.

“Jadi, rakyat sedar keperluan untuk mengharmonikan kerajaan negeri dan Persekutuan. Ini mungkin satu pertimbangan yang akan diambil kira oleh pengundi pada pilihan raya negeri,” katanya pada sidang media pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Taklimat Pilihan Raya Negeri Kedah dan Penyerahan KPI DUN di Bangunan Tunku, dekat sini.

Tambahnya, keazaman dan semangat ahli parti itu bagi membantu dan memastikan kemenangan pada PRN akan datang masih tinggi meskipun keputusan PRU-15 tidak seperti yang mereka harapkan.

“Namun dalam keadaan apa sekali pun, kita tidak akan berputus asa kerana rakyat Kedah mendambakan pentadbiran negeri dan negara berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com