ALOR SETAR – Isu 11 ahli Parlimen (Parti Keadilan Rakyat (PKR) menarik diri menyokong kerajaan Perpaduan adalah cubaan pembangkang mencipta naratif baru selepas mereka sendiri ketandusan isu untuk bagi menggugat kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, ada pihak mengambil kesempatan di tengah kehangatan pemilihan PKR pada hujung minggu lalu.
Menurutnya, ini sering kali diambil kesempatan oleh pihak pembangkang, dan situasi ini dianggap sebagai perkara biasa dalam politik.
“Apa yang berlaku ini adalah cubaan menangguk di air keruh di tengah kehangatan pemilihan dan selepas itu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi letak jawatan sebagai Menteri.
“Tindakan untuk meletak jawatan oleh dalam kerajaan adalah akibat daripada tidak mendapat sokongan dalaman, dan ini dimanfaatkan oleh pihak tertentu untuk menambah ketegangan dalam situasi politik,” katanya kepada Kedah Gazette.
Terdahulu media melaporkan Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang menafikan dakwaan 11 ahli Parlimen parti itu menarik sokongan terhadap Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut menyifatkan dakwaan yang tular di aplikasi WhatsApp itu sebagai mengarut.
Selain Lih Kang, Rafizi dan Nik Nazmi, mereka yang turut tersenarai dalam mesej tersebut antaranya ialah Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ahli Parlimen Johor Bahru; Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Subang; Wong Chen dan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.
Jelas Asmirul Aris, semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh Rafizi dan Nik Nazmi.
Menurutnya, mereka adalah menteri yang mempunyai prinsip dan telah mengambil keputusan untuk meletak jawatan kerana tidak mendapat sokongan dalaman.
“Walaupun mereka tidak lagi berada dalam kerajaan, mereka masih akan menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dan terus menyokong kerajaan perpaduan,” ujarnya.