ALOR SETAR – “Aku pergi dulu.” Itulah kata-kata terakhir yang diungkapkan Muhamad Arif Aifan Derani kepada rakannya sebelum dia dan dua lagi penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra maut dalam kemalangan di KM 49.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, petang Khamis.
Rakan sekelas mereka, Nik Muhammad Danis Darwish Abdul Qayyum, masih terkejut dengan kehilangan tiga sahabat baiknya yang sebelum itu begitu gembira kerana mahu pulang bercuti sempena Aidiladha.
“Kami memang rapat dan selalu bergurau. Malam tadi adalah kali terakhir tidur bersama kerana kami sebilik di asrama,” katanya pilu.
Dia berkata demikian semasa ditemui di Pusat Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.
Nik Muhammad Danis turut berkongsi bahawa mereka bertiga yang mengambil sijil lanjutan teknologi mekanikal kimpalan di IKBN Jitra sebenarnya mempunyai perancangan untuk menyewa rumah bersama Ogos ini. Namun, impian itu tidak kesampaian.
“Kami tunggu mereka pulang ke rumah hari ini, tetapi yang pulang adalah jenazah mereka,” ujarnya sayu.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Muhamad Habil Mohd Sobri (Gurun), Muhammad Fahmi Jamil (Jeniang, Sik), dan Muhamad Arif Aifan Derani (Bukit Selambau, Sungai Petani) maut dalam kejadian yang membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Noor Salawati Saad, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati motosikal Yamaha 135 LC hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang sebuah Naza Citra yang berhenti di laluan kecemasan, sebelum motosikal Yamaha Y16ZR gagal mengelak dan melanggar motosikal di hadapannya.
“Akibat insiden tersebut, dua penunggang dan seorang pembonceng maut di tempat kejadian. Seorang lagi pembonceng mengalami cedera parah dan menerima rawatan di Hospital HSB,” katanya.
Polis kini menyiasat kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala pemandu Naza Citra telah ditahan bagi membantu siasatan.
Jenazah mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk bedah siasat sebelum dikebumikan oleh keluarga masing-masing.