PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk isu berhubung kekebalan Perdana Menteri daripada tindakan saman sivil.
Rayuan itu difailkan pada Rabu melalui firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman di sini.
Peguam Anwar, Datuk Seri K Rajasegaran mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi media pada Khamis.
“Beliau tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain pada Rabu lalu,” katanya.
Menurut Rajasegaran, rayuan itu juga membabitkan keputusan mahkamah yang menolak permohonan Anwar dengan kos sebanyak RM20,000.
“Pihak kami merayu terhadap keseluruhan keputusan itu… Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes bagi rayuan tersebut belum ditetapkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Rajasegaran berkata pihaknya juga akan memfailkan permohonan penangguhan perbicaraan kes saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther.
“Namun begitu, kami perlu mendapatkan nombor rujukan kes rayuan terlebih dahulu sebelum memfailkan permohonan penangguhan bersama notis perakuan segera. Harap semua ini dapat diselesaikan sebelum 16 Jun, iaitu tarikh pertama perbicaraan,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman Yusoff berlangsung dari 16 hingga 19 Jun, dan bersambung pada 23 hingga 25 Jun ini.
Pada Rabu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan selepas mendapati isu yang dibangkitkan tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).
Hakim Roz Mawar Rozain ketika membaca keputusan itu berkata, tiada satu pun persoalan yang dikemukakan melibatkan tafsiran jelas terhadap Perlembagaan Persekutuan yang bersifat substantif atau memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan atau Seksyen 84 CJA.
Terdahulu, pada 23 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi merujuk lapan persoalan undang-undang yang antara lainnya mempertikai sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada tindakan saman sivil termasuk yang dikemukakan oleh Yusoff.
Dalam permohonannya, Anwar berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan perlu memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi kekebalan bersyarat kepada seorang Perdana Menteri daripada tindakan saman yang berkaitan pelaksanaan tugas eksekutifnya.
Beliau turut memohon mahkamah menilai sama ada tindakan saman itu boleh menjejaskan keupayaannya melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Eksekutif Negara, serta boleh membawa kepada pelanggaran prinsip pengasingan kuasa yang dijamin Perlembagaan.
Selain itu, Anwar juga berhujah bahawa prosiding saman tersebut berkemungkinan melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, tindakan saman itu merupakan satu bentuk penyalahgunaan proses mahkamah dan sewajarnya dipertimbang secara serius oleh badan kehakiman tertinggi negara.
Isu ini timbul susulan tindakan saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther terhadap Anwar, mendakwa berlaku salah laku seksual pada tahun 2018.
Kes itu menarik perhatian ramai kerana melibatkan persoalan perundangan yang belum pernah diputuskan secara tuntas, terutamanya mengenai sama ada Perdana Menteri menikmati sebarang kekebalan undang-undang dalam konteks saman sivil individu.
Sementara itu, pemerhati undang-undang melihat perkembangan ini sebagai ujian penting terhadap tafsiran perlembagaan berkaitan kedudukan eksekutif dalam sistem pentadbiran negara.
Sekiranya rayuan ini diterima Mahkamah Rayuan dan akhirnya dibawa ke Mahkamah Persekutuan, ia bakal menjadi kes rujukan penting bagi masa depan hubungan antara badan eksekutif dan kehakiman di Malaysia.
Rayuan ini dijangka akan menarik perhatian masyarakat umum dan ahli akademik perundangan, memandangkan implikasi luas terhadap doktrin kekebalan pemimpin kerajaan serta prinsip keadilan sejagat dalam sistem perundangan negara.