Friday, 18, July, 2025
Utama Politik Himpunan turun Anwar modal politik jalanan pembangkang – Mahfuz

Himpunan turun Anwar modal politik jalanan pembangkang – Mahfuz

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan himpunan “Turun Anwar” anjuran pembangkang sebagai taktik politik jalanan yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat, sebaliknya hanya bertujuan membakar sentimen dan menggugat kestabilan negara.

Menurutnya, tindakan pembangkang khususnya Pas yang menjadikan isu cukai SST, penyasaran subsidi dan tarif elektrik sebagai bahan kempen hanyalah cubaan menghasut rakyat tanpa menawarkan sebarang penyelesaian yang realistik.

“Langkah penyasaran subsidi dan semakan struktur cukai SST bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi untuk menyelamatkan negara daripada terus dibebani ketirisan dan pemborosan yang diwarisi sejak dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa subsidi pukal yang turut dinikmati golongan kaya dan warga asing bukanlah satu bentuk keadilan, sebaliknya satu bentuk kebocoran yang perlu diperbetulkan.

Jelasnya, penyesuaian subsidi dilakukan supaya bantuan hanya sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan sahaja.

Mahfuz turut membidas Pas yang menurutnya gagal menunjukkan prestasi pentadbiran yang baik di negeri-negeri yang mereka kuasai seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Bekalan air masih dalam krisis, peluang pekerjaan terhad, dan sebahagian pembangunan negeri pun dibantu oleh Kerajaan Persekutuan. Tapi mereka mahu tunjuk pandai dalam hal ekonomi negara,” katanya sinis.

Beliau juga menyifatkan himpunan tersebut bukan suara rakyat sebenar, sebaliknya digerakkan oleh ahli parti yang taksub kepada pemimpin.

“Ketika pelabur asing kembali yakin, inflasi terkawal dan negara sedang bangkit, mereka mahu bawa Malaysia semula ke kancah ketidakstabilan,” katanya.

Mahfuz yakin rakyat tidak mudah terpengaruh dengan politik jalanan yang berasaskan emosi tanpa fakta.

“Politik bukan sekadar jeritan di jalan raya. Politik adalah keberanian membuat keputusan yang sukar demi masa depan rakyat dan negara,” tegasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com