Sunday, 24, August, 2025
Utama Ekonomi Lawatan ke Sidang Kemuncak BRICS satu kejayaan penting – PM

Lawatan ke Sidang Kemuncak BRICS satu kejayaan penting – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyertaannya dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro, Brazil sebagai kejayaan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dalam satu hantaran di Facebook sebaik selesai urusan rasmi delegasi Malaysia di negara Amerika Selatan itu, Anwar berkata lawatan berkenaan mencapai matlamat utamanya, bukan sahaja dari sudut hubungan dengan Brazil, malah turut membina jalinan positif dengan negara-negara anggota BRICS yang lain.

“Nama Malaysia terus meniti di bibir pelabur antarabangsa hasil komitmen padu pasukan Kerajaan MADANI dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di persada global tidak harus terjejas dengan tohmahan pihak tertentu.

“Usah terganggu dengan suara sumbang yang cuba memperlekeh usaha ini. Perjalanan kita masih panjang, dan kita akan terus mara dengan iltizam membawa perubahan nyata buat negara dan generasi penerus,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan lawatan rasmi tersebut, termasuk pegawai kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Brazil, pasukan keselamatan serta petugas media.

“Kita terus melangkah ke hadapan demi Malaysia yang lebih disegani, stabil dan sejahtera. Obrigado, Brasil. Até nos encontrarmos novamente,” katanya.

Perdana Menteri berlepas pulang ke tanah air pada Isnin selepas menamatkan siri lawatan rasmi ke tiga negara — Itali, Perancis dan Brazil — yang bermula 1 Julai lalu.

Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa Anwar dan delegasi Malaysia berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Galeão (BAGL) pada jam 1 tengah hari waktu tempatan (12 tengah malam Isnin waktu Malaysia).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com