PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat ‘tanda bagus’ sambil tersenyum kepada pengamal media selepas selesai menghadiri pertemuan tertutup bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Kompleks Seri Perdana, di sini, petang Isnin.
Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu bermula jam 3.45 petang dan berakhir sekitar 5.40 petang.
Anwar yang juga Pengerusi PH, melambai dan memberi isyarat ibu jari ke atas sejurus keluar dari pekarangan Seri Perdana sambil berkata secara bersahaja, “very good … ke Shah Alam,” sebelum beredar.
Difahamkan, pertemuan tertutup berkenaan diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk persediaan PH menghadapi sidang Parlimen yang dijadual bermula minggu depan.
Ia turut menjadi kesinambungan kepada sesi taklimat bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berlangsung pada 11 Julai lalu.
Antara pemimpin PH yang hadir ialah Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; serta Ketua Setiausaha PH merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut serta, Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; dan Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Bagaimanapun, kelibat Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga bekas Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, tidak kelihatan dalam taklimat berkenaan.