Saturday, 13, September, 2025
Utama Politik Kerajaan Perpaduan tegas tolak LGBT, Pas jangan main sentimen murahan — AMK

Kerajaan Perpaduan tegas tolak LGBT, Pas jangan main sentimen murahan — AMK

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR — Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menegaskan pendirian Kerajaan Perpaduan yang jelas menolak sebarang bentuk pengiktirafan terhadap amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang disifatkan bercanggah dengan syariat Islam dan undang-undang negara.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, dakwaan kononnya kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ‘lampu hijau’ kepada golongan LGBT adalah tidak berasas dan bersifat menghasut.

“Malaysia mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan perbuatan songsang seperti liwat serta hubungan sejenis kekal sebagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 377A dan 377B,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut membidas pendekatan Pas yang didakwa cuba menjadi ‘juara moral’ dengan memainkan isu LGBT untuk meraih sokongan politik, walaupun negeri yang ditadbir parti itu seperti Kelantan dan Terengganu didakwa merekodkan kadar gejala sosial yang tinggi termasuk pembuangan bayi, penderaan seksual dan penagihan dadah.

“Jika mereka benar-benar serius mahu membendung LGBT, kenapa negeri sendiri sarat dengan pelbagai masalah sosial? Jangan menangguk di air yang keruh,” tegas beliau.

Tambahnya, hak asasi manusia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengiktiraf perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama dan nilai kemanusiaan.

Beliau menggesa Pas supaya berhenti bermain retorik politik murahan dan memberi tumpuan kepada isu rakyat seperti pendidikan, kemiskinan dan penagihan dadah yang dilihat semakin membimbangkan khususnya di negeri-negeri yang mereka tadbir.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com