Sunday, 28, April, 2024
Utama Politik Anwar perlu dinobat ‘Bapa Malaysia’ – Perwakilan PKR Sabah

Anwar perlu dinobat ‘Bapa Malaysia’ – Perwakilan PKR Sabah

oleh Ammar Haziq

Putrajaya: Seorang perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Sabah mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai ‘Bapa Malaysia.’

Antakor Rasam yang merupakan pembahas dari negeri itu turut memberikan contoh dan berkata perkara yang dilakukan oleh Anwar kini tidak pernah dilakukan oleh Perdana Menteri sebelumnya.

Beliau berkata, antaranya adalah isu berkait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain ia juga tidak pernah ada dalam perlembagaan mana-mana parti sebaliknya hanya ada di PKR.

“Dengan kuasa tuhan, Presiden PKR diangkat menjadi Perdana Menteri. Beliau telah melantik Timbalan Perdana Menteri dari Borneo. Segera membentuk Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

“Dan terkini dalam sejarah Dewan Rakyat, meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang membolehkan wakil dari Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota LHDN.

“Perkara ini tidak pernah dilakukan oleh Perdana Menteri sebelumnya. Maka dengan itu, saya fikir tidak ada keraguan lagi, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar perlu dinobatkan sebagai Bapa Malaysia,” katanya semasa berucap di Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Ahad.

Antakor dalam ucapannya juga menggesa agar pimpinan PKR di Sabah agar ‘sihat walafiat’ susulan pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi di negeri itu.

“Pilihan raya tidak lama lagi. Kita perlu menggarap segala sumber dan kekuatan untuk menang kerana pilihan raya itulah yang menjadi kayu ukur kepada pilihan raya umum akan datang.

“Oleh yang demikian, garis dasarnya ialah kesatuan dan perpaduan dalam kalangan pimpinan PKR di Sabah perlu sihat walafiat. Tidak perlu kita kuat tapi kalau kita berantakan sama sendiri hancur,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com