Thursday, 31, July, 2025
Utama Politik Kenyataan hina usaha damai: Ketua Penerangan Pas digesa mohon maaf

Kenyataan hina usaha damai: Ketua Penerangan Pas digesa mohon maaf

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, digesa tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja susulan kenyataannya yang disifatkan memperlekeh usaha Malaysia mendamaikan konflik sempadan antara dua negara jiran itu.

Gesaan itu disuarakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan sebagai tidak patriotik dan memalukan negara, apatah lagi ketika dunia sedang mengiktiraf peranan aktif Malaysia dalam arena diplomasi serantau.

Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan, kenyataan berbaur sindiran itu jelas mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dan memburukkan imej negara di mata antarabangsa.

“Malaysia tidak akan mempertahankan sikap biadab terhadap negara jiran. Politik kebencian tidak wajar dibenarkan merosakkan diplomasi yang dibina atas asas kemanusiaan dan keharmonian serantau,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk hantaran dimuat naik Ahmad Fadhli yang menggunakan analogi tiga haiwan kambing, biri-biri dan monyet dalam menggambarkan situasi perebutan pisang, yang turut disertakan tangkap layar laporan berita berkaitan konflik Thailand-Kemboja.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan netizen, yang menyifatkan ia sebagai tidak sensitif terhadap usaha rundingan damai diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Anwar mengumumkan kejayaan Malaysia menjadi orang tengah yang menyaksikan persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat dicapai antara Thailand dan Kemboja, hasil rundingan khas di Putrajaya.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menegaskan bahawa inisiatif damai berkenaan tidak wajar dipolitikkan oleh pembangkang.

“Ini bukan soal parti atau individu, tetapi soal maruah negara. Sedangkan pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat dan China memberi sokongan, malangnya pemimpin pembangkang kita memilih untuk menyindir dan memperlekeh usaha mulia ini,” katanya.

Beliau turut membidas kegagalan pentadbiran terdahulu dalam memainkan peranan diplomatik serantau yang berkesan, berbanding pencapaian kerajaan MADANI yang dilihat lebih berwibawa dan proaktif di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com