Sunday, 3, August, 2025
Utama Ekonomi RMK13 perkasa pengangkutan awam dan jalan raya, fokus keterhubungan dan subsidi rakyat

RMK13 perkasa pengangkutan awam dan jalan raya, fokus keterhubungan dan subsidi rakyat

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam dan rangkaian jalan raya di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk pembinaan infrastruktur baharu, penaiktarafan laluan sedia ada serta penyediaan subsidi perjalanan untuk rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, sebanyak 1,200 unit bas dan 300 van transit responsif (Demand Responsive Transit/DRT) akan ditambah bagi memperluas sambungan batuan pertama dan terakhir, khususnya di kawasan bandar utama yang memerlukan akses menyeluruh.

“Bagi meningkatkan kualiti dan kekerapan perkhidmatan rel pula, kerajaan akan memperkenalkan 217 set tren penumpang baharu,” katanya.

Komitmen kerajaan terhadap kos sara hidup turut diterjemah menerusi kesinambungan pelbagai bentuk subsidi pengangkutan termasuk pas perjalanan bulanan, pas khas untuk pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), serta program subsidi tiket penerbangan udara kepada pelajar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pembangunan infrastruktur berskala besar kekal sebagai keutamaan dalam RMK13 bagi memperkukuh keterhubungan antara wilayah dan merangsang pertumbuhan kawasan sekitarnya secara terancang.

Antara projek utama yang sedang dilaksanakan termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Pantai Barat; Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru; sistem pengangkutan elektrik automatik (E-ART) di Wilayah Iskandar Johor; dan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang.

“Inisiatif ini turut mempercepat pembangunan berorientasikan transit (Transit-Oriented Development, TOD) yang menggabungkan pengangkutan awam dengan perumahan, komersial dan perkhidmatan kerajaan secara bersepadu,” jelas beliau.

Dalam masa sama, projek menaik taraf jalan sedia ada dan pembinaan laluan baharu turut diberi perhatian untuk memastikan akses yang lebih lancar di seluruh negara.

Projek tumpuan termasuk penaiktarafan Lebuhraya PLUS laluan Senai Utara–Machap di Johor; laluan Juru–Sungai Dua di Pulau Pinang; pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Pahang dan Kelantan; Lebuhraya Pan Borneo di Sabah serta Lebuhraya Trans Borneo di Sarawak.

“Kerajaan juga memberi keutamaan kepada pembangunan jalan luar bandar dengan sasaran pembinaan dan penaiktarafan sejauh 2,800 kilometer sepanjang tempoh RMK13,” kata Anwar.

Antara laluan yang terlibat ialah jalan utama dari Nanga Serau ke Nanga Seranau di Kapit, Sarawak; jalan dari Jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang, Bagan Datuk di Perak; serta jalan ke Pos Sinderut di Lipis, Pahang.

Sebagai tambahan, pendekatan road-to-rail yang memindahkan sebahagian besar pergerakan kargo dari jalan raya ke landasan rel akan dilaksanakan, dengan sasaran meningkatkan kadar penggunaan rel daripada enam kepada 13 peratus.

“Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos logistik tetapi turut mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan jalan raya,” tambahnya.

Keseluruhannya, RMK13 memaparkan usaha holistik kerajaan dalam membina sistem pengangkutan yang inklusif, moden dan mampan untuk memenuhi keperluan rakyat hari ini dan masa depan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com