PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri pratonton khas filem Bollywood Taj Mahal: An Eternal Love Story di IOI City Mall, di sini, sekali gus berpeluang bertemu semula sahabat lamanya, pengarah dan penerbit filem berkenaan, Akbar Khan.
Pertemuan itu mengimbau kembali interaksi mereka dalam pelbagai acara budaya sebelum ini, di samping mengeratkan hubungan persahabatan dan diplomasi budaya antara Malaysia dan India.
Anwar berada di lokasi kira-kira 30 minit bagi menyaksikan sebahagian babak filem epik yang mengisahkan percintaan agung Maharaja Mughal, Shah Jahan dan isterinya, Mumtaz Mahal, sehingga terbinanya monumen ikonik Taj Mahal di Agra, India.
Filem berskala besar arahan Akbar Khan itu menampilkan penggambaran di lokasi sebenar di India, dengan sinematografi yang menonjolkan keindahan seni bina Mughal, serta dibintangi pelakon terkenal Bollywood seperti Kabir Bedi, Zulfikar Sayed, Manisha Koirala, Arbaaz Khan dan Sonya Jehan.
Karya tersebut turut mengangkat tema pengorbanan, cinta sejati dan warisan budaya, menjadi penghormatan kepada salah satu keajaiban dunia yang diiktiraf UNESCO.
Taj Mahal: An Eternal Love Story pernah dianggap antara produksi Bollywood paling mahal pada zamannya, dipasarkan sebagai projek yang mempamerkan kekayaan sejarah dan seni bina India kepada dunia.
Majlis tayangan itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy; Duta Poland ke Malaysia, Krzysztof Dobrowolski; dan Timbalan Ketua Perwakilan Mesir, Fatma AlZahraa Hassan Abdelkawy.