Thursday, 21, August, 2025
Utama Politik UMNO serah bantahan kemasukan Tengku Zafrul ke PKR, Anwar sahkan terima surat

UMNO serah bantahan kemasukan Tengku Zafrul ke PKR, Anwar sahkan terima surat

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan menerima nota bantahan daripada UMNO berhubung kemasukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Anwar, beliau akan meneliti perkara itu bersama Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Surat itu sudah lama diterima, saya perlu semak dengan Setiausaha Agung,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan, semalam.

Ahad lalu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa nota bantahan UMNO sudah diterima dan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR hujung bulan ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, surat berkenaan telah disalurkan kepada pimpinan parti oleh Setiausaha Agung PKR.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada 13 Ogos lalu menjelaskan bahawa UMNO akan mengemukakan bantahan terhadap sebarang usaha menerima bekas ahli UMNO ke dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, Fuziah turut mengesahkan bahawa PKR meluluskan keahlian Tengku Zafrul dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat pada 26 Julai lalu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com