KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui PKR dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan bertanding di banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada beberapa kawasan terpilih.
Beliau berkata, PKR hanya akan bertanding di beberapa kerusi, manakala selebihnya diserahkan kepada rakan dalam PH dan sebahagiannya pula akan ditentukan melalui pakatan kerjasama dengan pihak lain.
“Masa pilihan raya nanti kita kena fikir baik-baik. Ada PKR tanding, contoh di Inanam, Peto (Datuk Peto Galim), ada dengan rakan dalam PH dan ada kawasan kita pakat sama-sama.
“Ini supaya hubungan negeri dan Persekutuan kekal baik. Bagi PKR dan PH, ini yang mesti kita pastikan, tidak terlalu banyak kerusi tak mengapa,” katanya.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Tamu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR, di sini.
Katanya, perjuangan parti tetap menjadi keutamaan meskipun peluang bertanding tidak besar.
“Kita, dalam puluhan kerusi itu akan jadi penentu, kita ada prinsip hidup kita. Parti ini perjuangan, ada orang bila susah ingat perjuangan, bila senang lupa,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita selepas majlis berkenaan, Anwar yang juga Pengerusi PH mengesahkan kerjasama gabungan itu dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) tetap diteruskan.
“Kita bekerjasama dengan BN dan kita juga bekerjasama dengan GRS. Itu yang kita beri perhatian pada ketika ini,” katanya.
Sebelum ini, Anwar pernah menjelaskan PH akan bekerjasama dengan BN dan GRS walaupun kedua-dua gabungan berkenaan tidak dapat menjalin kerjasama sesama mereka.
Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud turut memaklumkan rundingan masih dijalankan dengan kedua-dua gabungan berkenaan bagi menentukan pembahagian kerusi.
Difahamkan, rundingan dengan BN memperuntukkan kira-kira 30 daripada 73 kerusi kepada PH, manakala perbincangan dengan GRS hanya memberikan 18 kerusi.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan beliau tidak mahu sentimen politik dimainkan dengan menolak parti dari Semenanjung menyertai politik negeri ini menjelang PRN17.
Sebaliknya, katanya, sebagai Perdana Menteri beliau memberi pertimbangan khas kepada Sabah dan Sarawak dalam soal pembangunan, membuktikan rakyat di kedua-dua negeri sentiasa mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan.
“Adalah tidak wajar kemasukan parti Semenanjung atau Malaya ke Sabah dijadikan isu untuk mengelirukan rakyat negeri ini, sedangkan kerajaan Pusat mengutamakan keadilan dalam setiap tindakan,” katanya.