Wednesday, 10, December, 2025
Utama Politik Semua janji PRN Sabah mula dilaksana bulan ini – PM

Semua janji PRN Sabah mula dilaksana bulan ini – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan semua janji dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, khususnya menaik taraf infrastruktur asas, akan mula dilaksanakan bulan ini.

Beliau berkata mesyuarat penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri akan diadakan setiap bulan bermula Disember bagi memantau lebih 250 projek utama di Sabah.

“Kita tetapkan supaya Disember ini juga ada mesyuarat penyelarasan memantau pelaksanaan. Kalau ada 250 projek utama, maka mesti dipantau setiap satu. Ini contoh terbaik untuk memastikan kata-kata kita dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025.

Anwar menegaskan kerajaan tidak akan mengulangi amalan pemimpin politik yang berjanji sebelum pilihan raya tetapi gagal menunaikannya.

Beliau turut memberi jaminan projek Lebuhraya Pan Borneo antara Sabah dan Sarawak yang bernilai lebih RM12 bilion akan diteruskan secara lebih teratur dan mengikut jadual.

“Pan Borneo… RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak akan kita teruskan dengan lebih teratur. Ini kali pertama sejak 10 tahun projek itu diluluskan, pelaksanaannya berjalan lebih baik dan mengikut jadual,” katanya.

Perdana Menteri turut merakam penghargaan kepada rakyat Sabah atas proses pengundian yang berjalan aman dan teratur pada 29 November lalu meskipun kepelbagaian kaum dan agama.

“Bayangkan Sabah dengan suku kaum berbeza, fahaman agama berbeza, berentap dalam pemilihan tegang, tetapi mereka menjadi contoh kepada negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.