Monday, 15, December, 2025
Utama Negeri 200 pelajar kurang berkemampuan terima bantuan persekolahan di Alor Setar

200 pelajar kurang berkemampuan terima bantuan persekolahan di Alor Setar

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Seramai 200 pelajar kurang berkemampuan dari Sekolah Kebangsaan Seri Perdana serta anak-anak asnaf sekitar Alor Setar menerima bantuan kelengkapan persekolahan menerusi program Kembali Ke Sekolah 2026 anjuran Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Etiqa Takaful.

Program yang berlangsung di sekolah berkenaan semalam bertujuan meringankan beban keluarga berpendapatan rendah dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu. Setiap pelajar terpilih menerima dua set uniform sekolah, beg sekolah, sejadah, dua pasang kasut serta stokin.

Menariknya, program kali ini menampilkan konsep kiosk di mana pelajar diberi peluang mencuba pakaian terlebih dahulu bagi memastikan saiz yang sesuai sebelum dibawa pulang.

Program Kembali Ke Sekolah 2026 merupakan siri jelajah kebajikan yang melibatkan lapan negeri dan Kedah menjadi lokasi kelima selepas Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak, sebelum diteruskan ke Perak, Johor serta Selangor.

Secara keseluruhan, seramai 1,600 pelajar sekolah rendah bakal menerima manfaat daripada program ini dan sumbangan disampaikan oleh Pengarah Wilayah Bahagian Utara Etiqa Insurans & Takaful, Hazli Mohamed Kassim.

Turut hadir Presiden IAM, Zawahir Abdullah serta Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Perdana.


Dalam ucapannya, Hazli berkata pihaknya bersyukur dapat membantu meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan.

“Ini merupakan salah satu cara syarikat kami mendekati masyarakat untuk berkongsi kejayaan yang dimiliki. Semoga sumbangan ini memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya.


Sementara itu, Zawahir menegaskan IAM berperanan sebagai pengantara antara golongan korporat dan masyarakat dalam usaha kemanusiaan.

“Kami ingin memastikan anak-anak ini bersedia ke sekolah dengan keperluan asas mencukupi. Diharapkan sumbangan ini membawa keceriaan kepada mereka,” ujarnya yang menyeru lebih banyak syarikat korporat mencontohi usaha Etiqa Takaful dalam menjayakan misi kebajikan.


Selain bantuan persekolahan, IAM dan Etiqa Takaful turut melaksanakan program Bekalan Air Bersih 2025 di Kedah.

Melalui projek itu, sebanyak 20 unit penapis air disumbangkan kepada pusat tahfiz, madrasah, sekolah, surau, masjid serta rumah kebajikan terpilih.

Program tersebut yang telah memasuki tahun ke-13 penganjurannya bertujuan memastikan komuniti mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan harian.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.