Wednesday, 17, December, 2025
Utama NasionalAngkat sumpah menteri, timbalan Kabinet MADANI esok

Angkat sumpah menteri, timbalan Kabinet MADANI esok

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Upacara angkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri Kabinet Kerajaan MADANI akan berlangsung di Istana Negara, esok pada jam 10 pagi.

Perkara itu disahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan upacara berkenaan diadakan seperti dijadualkan.

Menurut Anwar, Mesyuarat Jemaah Menteri akan diteruskan pada jam 2.30 petang pada hari sama selepas selesai istiadat angkat sumpah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan merakamkan penghargaan kepada barisan menteri dan timbalan menteri yang sebelum ini berkhidmat dalam Kabinet Kerajaan MADANI atas sumbangan dan komitmen diberikan kepada negara.

Katanya, pelantikan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio dalam rombakan Kabinet kali ini dibuat bagi memberi tumpuan kepada agenda pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta usaha menyelesaikan permasalahan rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan senarai pelantikan menteri baharu dan timbalan menteri selain beberapa pertukaran portfolio utama dalam Kabinet.

Sebelum ini, Kabinet Kerajaan MADANI menyaksikan beberapa kekosongan jawatan menteri susulan peletakan jawatan serta tamat tempoh pelantikan sebagai Senator.

Rombakan terbaharu itu dijangka memperkukuh jentera pentadbiran kerajaan selari dengan keutamaan semasa negara, khususnya dalam aspek ekonomi, kebajikan rakyat dan tadbir urus berkesan.

Artikel Berkaitan