Wednesday, 17, December, 2025
Utama NasionalPlatform digital wajib lebih bertanggungjawab lindungi kanak-kanak

Platform digital wajib lebih bertanggungjawab lindungi kanak-kanak

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR:Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang meletakkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar sebagai disifatkan berlesen, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

OCC menerusi satu kenyataan berkata langkah itu disifatkan sebagai perkembangan penting ke arah memperkukuh akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia, khususnya dalam memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian terus terpelihara.

Katanya, penguatkuasaan berkenaan selari dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta menjadi komponen penting dalam pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, yang memberi penekanan kepada perlindungan pengguna, terutama golongan kanak-kanak dan keluarga.

“Platform digital berskala besar tidak boleh lagi beroperasi tanpa tanggungjawab yang jelas, sebaliknya perlu memikul tanggungjawab setara di bawah rangka kawal selia negara, selaras dengan prinsip perlindungan kanak-kanak di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Keselamatan kanak-kanak dalam talian bukan hanya berkaitan kandungan semata-mata, malah merangkumi perlindungan daripada eksploitasi seksual, penderaan, kandungan berbahaya serta risiko psikologi dan emosi yang boleh menjejaskan kesejahteraan mereka dalam ruang digital,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, OCC berkata penyedia perkhidmatan perlu memastikan platform mereka direka dan dikendalikan dengan tetapan selamat untuk kanak-kanak secara automatik, termasuk perlindungan bersesuaian mengikut umur, kawalan kandungan, mekanisme pelaporan yang mudah diakses serta tindakan pantas terhadap aduan.

Katanya, inisiatif itu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya langkah perlindungan bagi memastikan persekitaran Internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga, tanpa menyasarkan pengguna biasa.

Dalam kenyataan sama, OCC menyatakan kesediaan untuk mengukuhkan kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan berkaitan serta penyedia perkhidmatan digital bagi membina ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Perlindungan kanak-kanak dalam talian, menurut OCC, bukan satu pilihan, sebaliknya kewajipan undang-undang dan moral yang perlu dipikul bersama selaras dengan tanggungjawab hak asasi manusia serta amalan antarabangsa.

Artikel Berkaitan