PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI membabitkan pelantikan 10 menteri dan 18 timbalan menteri bagi memperkukuh kecekapan serta penyusunan semula pentadbiran kerajaan.
Pengumuman itu dibuat di Pejabat Perdana Putra, di sini, melibatkan beberapa portfolio utama merangkumi sektor ekonomi, sosial, agama, pendidikan, belia, sumber manusia serta kelestarian alam.
Antara pelantikan utama ialah Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Steven Sim Chee Keong sebagai Menteri Pembangunan Usahawan, Koperasi dan PMKS serta Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi.
Turut dilantik ialah Datuk Musfata Sakmud sebagai Menteri Sabah dan Sarawak, Dr Dzulkefly Hassan sebagai Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, Ramanan Ramakrishnan sebagai Menteri Sumber Manusia serta Tawfiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Bagi jawatan timbalan menteri, antara yang diumumkan ialah Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Adam Adli Abd Halim sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Lim Hui Ying sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Anwar berkata rombakan itu dilaksanakan sebagai langkah penstrukturan semula bagi memastikan jentera pentadbiran kerajaan lebih cekap, responsif dan selari dengan keutamaan semasa negara.
Menurut beliau, pelantikan berkenaan turut mengambil kira keperluan untuk memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kebajikan rakyat serta memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Upacara angkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri yang baharu dilantik akan diadakan di Istana Negara pada jam 10 pagi esok, dengan Mesyuarat Jemaah Menteri dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang hari sama.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada menteri dan timbalan menteri yang digugurkan atau bertukar portfolio atas sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada negara sebelum ini.