Wednesday, 4, December, 2024
Utama Politik Tewas PRK Sungai Bakap : Kerajaan Madani azam bela nasib rakyat

Tewas PRK Sungai Bakap : Kerajaan Madani azam bela nasib rakyat

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan Kerajaan Perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap yang telah berlangsung dengan lancar dan aman. 

Menurutnya, selaku Perdana Menteri, beliau dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap yang berlangsung ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan yang sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan Madani.

“Kerajaan Madani menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara.

“Dengan dasar dan komitmen yang jitu, Gabungan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baharu negara yang sedang berjalan,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Pada Sabtu, media melaporkan Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi DUN) Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi.

Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi di sini.

Abidin yang lebih mesra dengan panggilan Abang Abidin sebelum ini berjanji akan meneruskan legasi Nor Zamri jika dipilih menggantikan ‘bos’ beliau menjadi wakil rakyat di DUN Sungai Bakap itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com