Saturday, 24, May, 2025
Utama Politik Anwar tunai tanggungjawab mengundi, pemilihan PKR berjalan lancar

Anwar tunai tanggungjawab mengundi, pemilihan PKR berjalan lancar

oleh Ammar Haziq

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parti dengan mengundi secara fizikal dalam pemilihan kepimpinan pusat di Berjaya Waterfront Hotel, di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri tiba di lokasi pengundian kira-kira jam 12.07 tengah hari, ditemani Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang turut sama melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Turut hadir di pusat pengundian yang juga menjadi lokasi Kongres Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2024/2025 ialah Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil; dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Selesai mengundi, Anwar turut meluangkan masa untuk beramah mesra bersama perwakilan dan petugas parti yang hadir.

Pengundian fizikal bagi Pemilihan Peringkat Pusat PKR merangkumi pemilihan untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK, dan Majlis Pimpinan Wanita yang dijadual berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Secara keseluruhan, seramai 32,030 perwakilan layak mengundi, dengan pecahan 22,936 secara dalam talian dan 9,094 secara fizikal. Selain Berjaya Waterfront Hotel, pengundian fizikal turut berlangsung di Kongres Wanita PKR di Pusat Konvensyen Danga Bay, serta di Sabah dan Sarawak masing-masing di ITCC Penampang dan Pusat Konvensyen Penview, Kuching.

Pemilihan kali ini menyaksikan 251 calon bertanding, merangkumi 104 calon bagi MPP, 85 calon AMK dan 62 calon Wanita.

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden, manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara anak sulung beliau, Nurul Izzah Anwar, dan penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bagi jawatan Naib Presiden, sebanyak 12 pencalonan diterima termasuk penyandang seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK.

Jawatan Ketua Wanita pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang jawatan merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa sebelum ini menjangkakan keputusan penuh pemilihan akan diumumkan seawal malam ini atau selewat-lewatnya jam 2.30 petang pada Sabtu.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menyatakan bahawa proses pemilihan berjalan lancar dan teratur serta menyeru perwakilan menilai keupayaan calon secara matang.

“Menang atau tewas, semua calon tetap mempunyai peranan dalam membina kekuatan Keadilan serta memastikan agenda reformasi terus menyala. Fokus semua pimpinan dan anggota selepas berakhir pemilihan harus tertumpu pada usaha mempersiapkan parti menempuh pilihan raya akan datang,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com