Friday, 19, April, 2024
Utama Politik Mukhriz semakin ‘panas punggung’

Mukhriz semakin ‘panas punggung’

oleh Wartawan Kedah Gazette
Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR – Ibarat telur di hujung tanduk.

Itulah perpatah yang boleh digambarkan mengenai kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Menteri Besar Kedah pada masa ini.

Situasi politik di negeri Jelapang Padi itu dilihat semakin panas apabila terdapat dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR negeri itu akan beralih sokongan.

Pada masa ini, kerajaan kerajaan negeri Kedah diterajui Bersatu yang mempunyai enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bergandingan dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang dibarisi PKR (tujuh kerusi), Amanah (empat kerusi) dan DAP (dua kerusi).

Tindakan ADUN Sidam daripada PKR, Dr. Robert Ling Kui Ee baru-baru ini yang mencabar supaya beliau digantung atau dipecat daripada parti itu mengundang polimik baru politik di Kedah.

Dr. Robert membuat cabaran tersebut selepas PKR Pusat mengambil tindakan menggantung dan memecat timbalannya di Cabang PKR Sungai Petani dan beberapa lagi kepimpinan cabang di Kedah.

Difahamkan, beberapa ADUN PKR Kedah yang lain juga didakwa akan turut mengikuti jejak langkahnya beralih sokongan.

Malah, Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya menegaskan bahawa Mukhriz sekarang juga bukan lagi Pengerusi PH Kedah apabila beliau hanya mampu melihat tanpa berhak mencatur pergerakan ADUN-ADUN daripada PKR kerana dari sudut gabungan, PKR dan Bersatu tidak lagi sehaluan.

Ustaz Ahmad Yahaya

Tambah beliau, kepincangan dan perpecahan yang berlaku dalam PH Kedah sukar dikawal lagi serta memperlihatkan kelemahan gabungan itu dalam mengurus tadbir negeri Kedah.

Pentadbiran Mukhriz dilaporkan semakin kusut apabila difahamkan terdapat dalam kalangan ADUN Bersatu yang tidak lagi setia dengan Menteri Besar Kedah itu.

Kalangan ADUN itu dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan Mukhriz yang tidak memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berdasar perkembangan tersebut, kerajaan PH-Bersatu Kedah akan kehilangan majoriti kerusi DUN dan kuasa pentadbiran negeri pada bila-bila masa sahaja.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Bersatu Kedah juga bukan sahaja menghadapi konflik dengan PKR, malah Bersatu turut menghadapi kehangatan menjelang pemilihan parti.

Tegas Jamil Khir, kecelaruan kepimpinan Mukhriz yang terlalu banyak berpolitik dan bercakaran sesama mereka dalam kerajaan negeri sebenarnya boleh menghilangkan keupayaan memimpin.

“Kemelut politik Kedah masih tidak bergerak ke mana mana, sedangkan semua negeri telah dinoktahkan kepimpinannya seiring kerajaan PN di Pusat setelah jatuhnya Kerajaan PH,” katanya bekas Ahli Parlimen Jerai itu.

Dalam pada itu, Kedahgazette.com difahamkan peralihan kuasa kerajaan negeri Kedah dijangka berlaku dalam tempoh tidak lama lagi. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com