Sunday, 24, August, 2025
Utama Nasional Malaysia-Indonesia senada sokong perdamaian Asia Barat, kecam kekejaman Israel

Malaysia-Indonesia senada sokong perdamaian Asia Barat, kecam kekejaman Israel

oleh Ammar Haziq

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia senada dalam menyatakan komitmen untuk melihat perdamaian yang menyeluruh di Asia Barat, termasuk penyelesaian konflik antara Israel dan Iran serta pembebasan Palestin yang berdaulat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara berkongsi pandangan yang sama berhubung keperluan mencapai penyelesaian secara aman, dan menzahirkan kelegaan terhadap perkembangan terbaru yang memperlihatkan tercetusnya genjatan senjata sementara antara Israel dan Iran.

“Kita mengalu-alukan perkembangan itu, namun dalam masa sama tetap mengecam kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang tidak berperikemanusiaan,” katanya pada sidang media bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka.

Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia tidak berganjak daripada pendiriannya untuk terus menolak sekeras-kerasnya pencerobohan dan pelanggaran hak oleh Israel ke atas Iran, sambil menyatakan sokongan terhadap hak setiap negara mempertahankan kedaulatan dan keselamatan sendiri.

Beliau turut mengulangi harapan agar perjuangan rakyat Palestin mencapai kemerdekaan sepenuhnya dapat direalisasikan, selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

“Seperti ditegaskan Presiden Prabowo tadi, keinginan kita adalah untuk melihat perdamaian dicapai di seluruh wilayah Asia Barat, bukan sekadar antara dua negara,” ujar Anwar.

Sementara itu, Prabowo menyatakan bahawa Indonesia dan Malaysia akan terus berperanan dalam menggalakkan penyelesaian damai terhadap konflik yang berlarutan, termasuk menyokong model penyelesaian dua negara (two-state solution) sebagai jalan keluar yang tuntas bagi konflik Israel-Palestin.

“Kami percaya, hanya penyelesaian dua negara yang boleh menamatkan pertikaian ini. Sudah tiba masanya untuk usaha global digembleng secara bersama ke arah mewujudkan keamanan sejagat,” katanya.

Beliau turut menekankan sokongan tidak berbelah bahagi Indonesia terhadap usaha kemerdekaan penuh Palestin yang telah lama ditindas.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com