KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memaklumkan bahawa Kemboja dan Thailand telah bersetuju untuk menghentikan pertempuran di kawasan sempadan, selain merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peranan yang dimainkan dalam usaha meredakan konflik berkenaan.
Trump berkata persetujuan itu dicapai susulan perbualan beliau dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, yang bersetuju menghentikan semua tembakan.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju untuk kembali mematuhi Perjanjian Damai yang dimeterai sebelum ini, dengan sokongan dan bantuan Anwar selaku Pengerusi ASEAN.
“Mereka telah bersetuju untuk menghentikan semua tembakan dan kembali kepada perjanjian damai asal yang dimeterai, dengan bantuan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim,” katanya.
Trump turut menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah penting bagi mengelakkan konflik berkenaan daripada berkembang menjadi peperangan besar antara dua negara yang sepatutnya hidup aman dan makmur.
Beliau juga menyatakan penghargaan secara terbuka kepada Anwar atas peranan Malaysia dalam memudah cara dialog dan membantu meredakan ketegangan yang berlaku di rantau Asia Tenggara.
Sementara itu, Anwar sebelum ini memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan telefon dengan Trump bagi membincangkan konflik sempadan Kemboja-Thailand serta peranan Malaysia dalam menggesa kedua-dua negara supaya bertenang.
Menurut Anwar, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan terus menggunakan saluran dua hala dan mekanisme ASEAN bagi memastikan dialog dan diplomasi kekal menjadi asas penyelesaian konflik.
Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlarutan sejak sekian lama kembali memuncak pada Julai lalu sebelum kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata dan menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur, namun ketegangan kembali tercetus baru-baru ini sehingga mencetuskan kebimbangan serantau.