Sunday, 25, January, 2026
Utama PolitikAnwar ucap tahniah kepada BN atas kemenangan PRK Kinabatangan, DUN Lamag

Anwar ucap tahniah kepada BN atas kemenangan PRK Kinabatangan, DUN Lamag

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) susulan kejayaan gabungan itu mengekalkan penguasaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, semalam.


Menurut beliau, keputusan berkenaan mencerminkan tahap keyakinan pengundi terhadap pendekatan, khidmat serta komitmen yang ditunjukkan BN, khususnya dalam mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.


“Kemenangan ini perlu diterjemahkan sebagai satu amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan berintegriti, penyampaian perkhidmatan yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.


Anwar turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mengangkat semangat muafakat dan kerjasama demi memastikan agenda pembangunan di Sabah dapat diperkasakan, di samping menjamin kesejahteraan rakyat terus terpelihara.


Beliau berkata, usaha berterusan itu penting bagi memastikan agenda Madani dapat direalisasikan secara menyeluruh melalui komitmen bersama semua pihak.


Dalam kenyataan sama, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar yang memenangi Parlimen Kinabatangan dan Mohd Ismail Ayob bagi DUN Lamag.


“Saya mendoakan agar legasi khidmat serta kepemimpinan Allahyarham Bung Moktar Radin dapat dipelihara dan diteruskan dengan sebaiknya demi manfaat rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan