Wednesday, 1, May, 2024
Utama Viral Diherdik kerana mahu berhutang secupak beras!

Diherdik kerana mahu berhutang secupak beras!

oleh Ammar Haziq
Muhammad Azlan kini melibatkan diri dalam bidang hartanah dan koperasi.

Siri 1 : Kisah benar kehidupan Muhammad Azlan Al Amin..

Selasa,23/9/1987 saya mula melihat wajah dunia.Dilahirkan di lantai kemiskinan,saya hidup membesar penuh tabah sebagai anak ke-6 daripada adik beradik seramai 21 orang seibu dan seayah.

Ya…Ramai yang terkejut dengan jumlah dan billangan adik beradik saya yang besar,namun itulah hakikatnya kurniaan Allah buat kami sekeluarga,miskin harta tapi kaya jiwa.

Allah yang memberi pinjam,dan Allah jualah yang berkuasa mengambilnya kembali,saya sempat menyaksikan lima daripada adik adik saya saya ditakdirkan meninggal dunia sewaktu kecil.Moga menjadi syafaat buat ibu ayah di akhirat nanti…

Keluarga kami pernah dibanci sebagai keluarga yang paling miskin di daerah Besut sekitar tahun 80-90an.Tinggal pun di atas tanah pemberian arwah datuk,manakala rumah pula dibina dengan ehsan orang ramai yang bergotong royong mengambil kayu kayu dari dari rumah rumah usang yang dirombak untuk membina sebuah “mahligai” buat kami sekeluarga tumpang berteduh.

Walau sering tiris dan bocor atapnya di sana sini,namun kami sentiasa menadah tangan tanda syukur pada Ilahi kerana sekurang kurangnya pondok kecil itu dapat menjadi tempat kami berteduh dari hujan panas.

Maklum saja ayah hanya petani dan ibu suri rumahtangga sepenuh masa,mereka tidak mampu memberikan kesempurnaan dan keselesaan buat kami anak anak sewaktu kecil.Makan minum kami ala kadar.

Apa yang ada,itulah yang dinikmati seadanya.Bukan meminta lebih,cukup sekadar menahan lapar kebuluran pun sudah memadai.Selalu bila kehabisan beras di dapur,mak minta kami gali ubi kayu sebagai ganti nasi.Tak ada ikan,budu pun jadi lauk yang menyelerakan.

Sering terputus bekalan makanan itu biasa,setakat sehari tak makan itu lumrah.Kadang jika beras ada sedikit,mak akan larang kami si abang abang ini dari menambah nasi,takut adik adik menangis tak cukup nasi.

Paling tidak jika ada hanya secawan dua beras jika disukat,mak terpaksa buat nasi air.Tujuannya ialah supaya kami boleh bersama sama hirup apa yang kami biasa pangil “bubur nasi” kerana jika ditanak menjadi nasi ia tidak cukup buat santapan kami sekeluarga.

Pernah suatu ketika,kami kehabisan beras dalam waktu yang agak panjang di rumah.Mak minta saya pergi berhutang secupak beras di kedai berdekatan.

Dengan penuh perasaan malu,saya langkah kaki keluar ke kedai walaupun hati merasa berat untuk berhutang.Sampai di kedai,bukan secupak beras yang kami dapat,namun segantang penghinaan yang dilemparkan.

Saya dimarahi oleh tuan kedai kerana mak ayah belum lagi membayar hutang barangan dapur sebelumnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com