KUALA NERANG, 3 Nov – Kepimpinan UMNO di semua peringkat termasuk yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) diseru merapatkan saf sebagai satu pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, adalah menjadi perkara biasa setiap kali pilihan raya akan terdapat nama baharu dan lama serta pemimpin lama yang dipilih dan tidak dipilih sebagai calon.
“Saya menyerulah kepada seluruh kepimpinan UMNO di semua peringkat di semua kawasan parlimen agar dapat berada dalam saf kepimpinan UMNO untuk meneruskan pilihan raya PRU15 atas pasukan BN.
“Sebenarnya dia bukan saja UMNO, semua pun akan ada perkara yang sama (pimpinan yang digugurkan dari senarai calon), jadi kita kena cari jalan macam mana nak selesaikanlah”.
Beliau berkata demikian mepada media selepas merasmikan Program Pemantapan Sahsiah Diri di Dewan Tunku Putra di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan sebilangan kepimpinan UMNO yang digugurkan dari senarai calon BN dan dijangka bertanding di atas tiket parti lain yang menyebabkan berlaku pertembungan dengan calon BN sendiri pada PRU15.
Mahdzir juga berharap pimpinan terbabit tidak terlalu memikirkan perkara-perkara yang boleh merosakkan atau menjejaskan BN itu sendiri di kemudian hari.
Pada majlis pengumuman calon BN kelmarin, empat menteri Kabinet Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, digugurkan sebagai calon PRU15.
Mereka adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).
Mengulas mengenai senarai calon keseluruhan yang ditampilkan Bn kali ini, Mahdzir menyifatkannya sebagai seimbang.
“Yalah ada orang lama, ada pemimpin muda dan ada pemimpin lama tapi baru pertama kali bertanding dan ada juga wanita, jadi saya ingat ada walaupun tak memenuhi hasrat wanita ataupun 30 peratus tapi ada wanita yang dibawa untuk menjadi calon di merata negeri jugalah, sama ada di DUN atau parlimen”, kata Mahdzir.