Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri 30 PATI ditahan, cuba sembunyi dalam semak

30 PATI ditahan, cuba sembunyi dalam semak

oleh Ammar Haziq
Kesemua PATI ditahan ketika bersembunyi di kawasan belukar dalam sebuah kebun getah di Bukit Kayu Hitam.

KUBANG PASU, 4 Nov. – Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar ditahan kerana memasuki negara ini dengan menggunakan laluan tidak sah di Bukit Kayu Hitam, dekat sini, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi satu kenyataan memaklumkan, kesemua mereka ditahan ketika bersembunyi di kawasan belukar dalam sebuah kebun getah.

Katanya, kejadian tersebut berlaku dalam sektor Op Benteng, Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

“Kira-kira pukul 3.30 petang, pasukan ronda yang sedang melaksanakan tugas di sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan pergerakan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan cuba bersembunyi dalam kawasan belukar di kebun getah.

“Pasukan bertugas bersama Pasukan Reaksi Pantas (QRF) seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua 30 PATI tersebut,” katanya.

Tambahnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 26 lelaki dan empat wanita berusia antara 15 hingga 42 tahun.

“Mereka didapati tidak memiliki dokumen  perjalanan sah. Selain itu pihak kami turut merampas 27 telefon bimbit, wang tunai dalam nilai mata wang Malaysia, Myanmar dan Thailand, 24 kad pengenalan warganegara Myanmar serta sebuah beg pakaian dengan nilai rampasan keseluruhan RM17,163.

“Kesemua PATI itu diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, pasukan operasi akan terus meningkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya berkaitan kemasukan PATI.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com