Friday, 22, November, 2024
Utama Politik PN tidak wajar ‘melabelkan’ penjawat awam sebagai beban kerajaan

PN tidak wajar ‘melabelkan’ penjawat awam sebagai beban kerajaan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kenyataan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang menganggap para penjawat awam sedia ada sebagai beban kepada negara tidak wajar dipandang ringan memandangkan ia merendah-rendahkan sumbangan kakitangan awam di Malaysia.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Dato Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, setelah menyakitkan hati dengan kenyataan tersebut, parti itu hanya sekadar selamba memadam kenyataan tersebut di Facebook rasminya setelah menyedari kenyataan mereka menimbulkan kemarahan awam.

“Pada hemat saya, mungkin penyakit celupar Pengarah Pilihanraya PN kini membarah dan berjangkit kepada pemimpin PN lain, termasuk jurucakap parti Gerakan, Mok Kok On.

“Mon Kok On dan PN harus diajar berterima kasih dan menghargai segala jasa pengorbanan para penjawat awam di negara ini, serta tidak mempersoal tindakan Kerajaan BN-PH yang menambah jumlah penjawat awam di negara ini, khususnya bagi jawatan kritikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, PN harus sedar bahawa Malaysia Madani kini sedang dipulihkan dari kerosakan ekonomi negara yang dilakukan pemimpin PN sendiri khususnya Bersatu, dan meletakkan semula kedudukan ekonomi negara ini ke aras yang membanggakan.

“Mungkin para pemimpin pembangkang seperti PN ini tidak sedar bahawa gara-gara sikap mereka yang sering memperlekeh kerajaan dan penjawat awam telah menghilangkan keyakinan dunia antarabangsa kepada negara.

“Saya menggesa agar Gerakan dan PN segera memohon maaf kepada masyarakat awam, khususnya para penjawat awam di negara ini, sekali gus berikrar tidak akan mengulangi sikap buruk tersebut pada masa yang akan datang,” ujar beliau.

Walaubagaimanapun, Gerakan pada Khamis telah pun memohon maaf di atas kenyataan tersebut dan bakal mengambil tindakan di atas isu yang menyaksikan banyak pihak menyelar Kenyataan berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com