Tuesday, 30, April, 2024
Utama Negeri Polis tahan ketua ‘Geng Mizan’, aktif pecah rumah dan premis

Polis tahan ketua ‘Geng Mizan’, aktif pecah rumah dan premis

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Polis berjaya menahan ketua kumpulan ‘Geng Mizan’ bersama tiga lagi ahli kumpulan itu dalam serbuan di Kawasan Rehat RTC Simpang Pulai, Gopeng Perak, pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, tangkapan suspek pada jam 7.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda. 

Beliau berkata, suspek utama yang dikenali dengan panggilan ‘Mizan’ berusia 42 tahun ini mengetuai kumpulan tersebut dalam kegiatan pecah rumah dan premise dikehendaki polis bersabit 12 rekod jenayah pecah rumah dan premis dan dua rekod bersabit narkotik.

“Hasil siasatan suspek mengaku terlibat dalam melakukan pecah pejabat sebuah syarikat penghantaran di Bakar Arang Sungai Petani bersama tiga rakan yang lain.

“Suspek turut mengaku terlibat dalam pecah Istana Hinggap di Jitra,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Jelas Zaidy, suspek telah di bawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Kesiksaan.

Tambahnya, polis masih lagi memburu dua lagi anggota kumpulan terbabit yang masih bebas.

Pada awal Jun lalu, media melaporkan tangkapan enam lelaki dan seorang wanita dipercayai anggota ‘Geng Mizan’ menerusi beberapa siri serbuan di sekitar negeri Kedah.

Susulan itu operasi khas memburu ketua kumpulan yang aktif dalam jenayah pecah rumah dan premis itu digerakan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com