Monday, 25, November, 2024
Utama Politik UMNO Kedah yakin ahlinya beri sokongan kepada Kerajaan Perpaduan

UMNO Kedah yakin ahlinya beri sokongan kepada Kerajaan Perpaduan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – UMNO Kedah yakin ahli-ahlinya masih kekal dengan semangat parti dan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kehilangan sokongan ahli UMNO ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah disebabkan pengaruh Perikatan Nasional (PN) pada ketika itu yang kini dilihat sudah semakin reda.

“Pada saya, ahli UMNO masih lagi kekal dengan semangat parti. Kalau tengok kepada jumlah undi yang ada itu, maknanya kita tetap ada deposit daripada situ.

Cumanya waktu itu (PRU15) ada persepsi menyebabkan ada yang beralih angin, tetapi ia hanya bersifat sementara sahaja”.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Taklimat Pilihan Raya Negeri Kedah dan Penyerahan KPI DUN Bersama Pengarah Koordinasi Pilihan Raya UMNO Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di sini hari ini.

Mahdzir yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Kedah berkata, sokongan pengundi yang hilang sebelum ini juga akan berpatah balik kepada BN-PH pada PRN kali ini.

“Mereka akan berpatah balik cuma sebesar mana jumlah yang patah balik itu hanya pengundi tahu,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan tinjauan, peralihan sokongan itu sudah pun bermula setelah berakhirnya PRU15.

“Lagipun rakyat Kedah sudah cerdik bukan orang tertentu sahaja cerdik rakyat pun cerdik jadi kita beri peluang kepada rakyat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com