Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri 952 pasangan diberi kebenaran bernikah semasa PKP

952 pasangan diberi kebenaran bernikah semasa PKP

oleh Wartawan Kedah Gazette
Majlis akad nikah hanya dibenarkan diadakan di pejabat agama Islam daerah sahaja. – Gambar hiasan

ALOR SETAR – Sebanyak 952 pasangan yang
menangguhkan majlis pernikahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah diberi kebenaran semula untuk menyempurnakan
upacata tersebut dengan syarat tertentu.

Menteri Besar, Datuk Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, kesemua pasangan itu telah diberi kebenaran berkahwin di negeri ini sebelum PKP yang berkuat kuasa pada 18 Mac.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memberi kelulusan kepada Pejabat Agama Islam di semua daerah menguruskan majlis akad nikah pasangan tersebut selama lima hari seminggu untuk menguruskan upacara akad nikah.

“Antara syaratnya adalah majlis pernikahan tersebut perlu dilaksanakan di pejabat agama Islam daerah. Kedua-dua pasangan akan ditemani oleh seorang wali pengantin perempuan manakala tiga saksi disediakan pihak pejabat agama daerah.

“Tiada majlis lain kecuali akad nikah diuruskan pejabat agama kerana kita tak benarkan orang ramai berkumpul,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Selain itu, Mukhriz memberitahu, pasangan terbabit perlu mendaftar terlebih dulu dengan tarikh serta waktu pernikahan akan ditetapkan oleh pihak pejabat agama daerah agar perjalanan majlis teratur.

Bagaimanapun, tambahnya, kebenaran ini hanya tertakluk kepada pasangan yang berada di Kedah sahaja.

“Jika salah satu daripada pasangan terbabit berada di negeri lain, kita sedang usahakan kaedah lain antaranya persidangan video,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com