Saturday, 15, June, 2024
Utama Politik 25 ADUN Kedah sokong PN?

25 ADUN Kedah sokong PN?

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Seramai 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah didakwa menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Sebelum ini 23 ADUN sahaja yang dikatakan menyokong PN namum jumlah sokongan ADUN telah meningkat kepada 25 ADUN.

Menurut sumber, difahamkan 25 ADUN terbabit menyatakan hilang keyakinan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan menyatakan sokongan kepada PN membentuk kerajaan negeri baharu.

“Dengan pembentukan kerajaan negeri yang mempunyai 25 kerusi, bermakna PN membentuk kerajaan yang stabil dengan majoriti melebihi dua pertiga,” kata sumber itu petang ini.

Sumber berkenaan memberitahu, ada dalam kalangan ADUN yang sebelum ini tidak menyatakan pendirian menyokong PN, sebaliknya telah menyokong PN hari ini.

“Jumlah ADUN yang menyokong PN itu diperoleh selepas mereka menghadap Tuanku Sultan Kedah,” katanya petang ini.

Tanpa mahu menjelaskan Adun daripada parti mana, sumber itu berkata, tunggu pengumuman rasmi nanti.

Sebelum ini, PN dilaporkan hanya mempunyai sokongan 23 ADUN iaitu 15 daripada Pas, dua (BN), dua bebas daripada bekas ADUN PKR dan empat (Bersatu).

Selepas berakhir majlis menghadap Sultan Kedah hari ini, Pas boleh mengetuai usaha membentuk kerajaan baharu.

Sementara itu media petang ini melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masuk menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman di sini petang ini.

Kenderaan yang membawa Mukhriz itu tiba di Wisma Darul Aman pada pukul 4 petang untuk menghadap Sultan Sallehuddin.

Terdahulu, ADUN Pakatan Harapan (PH) termasuklah ADUN Derga, Tan Kok Yew, ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul dan ADUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong telah masuk menghadap sejak pukul 2.25 petang tadi.

Sebelum itu, pada pukul 10 pagi tadi pula seramai 23 Ahli ADUN yang menyokong Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor selesai menghadap Sultan Kedah. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com