SIARAN MEDIA CUEPACS
PENUBUHAN JAWATANKUASA KHAS SIASAT SEMULA KES KEMATIAN ANGGOTA BOMBA MUHAMMAD ADIB BERI HARAPAN KEADILAN KEPADA KELUARGA DAN WARGA PERKHIDMATAN AWAM
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mewakili seluruh warga perkhidmatan awam terutama anggota bomba menyambut baik keputusan kerajaan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim.
Keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah sejajar dengan hasrat CUEPACS dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri serta keseluruhan rakyat Malaysia agar kematian arwah adib dapat diberikan keadilan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang negara.
CUEPACS menghargai dan berterima kasih atas keputusan kerajaan dalam meneruskan siasatan kes kematian arwah Muhammad Adib. Sudah tentu harapan kami semua tidak pernah padam dalam memastikan usaha mencari keadilan terhadap arwah Muhammad Adib dan keluarganya diteruskan sehingga pesalah yang terlibat menerima hukuman setimpal.
Kes yang melibatkan arwah Muhammad Adib ini tidak boleh dipandang remeh dan pesalah yang terlibat harus dicari dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.
CUEPACS berharap tempoh enam bulan yang diberikan kepada anggota jawatankuasa yang ditubuhkan ini digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan segala persoalan yang timbul disebalik kematian arwah Muhammad Adib.
Dapatan daripada siasatan kes ini perlu dimaklumkan kepada umum bagi menjamin ketelusan siasatan. Cuepacs menaruh harapan yang tinggi agar keadilan untuk Allahyarhm Adib dituntut kerana ia penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang terutama melibatkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara.
Dalam masa yang sama CUEPACS juga berharap isu ini tidak terus dijadikan modal politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak, sebaliknya fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah bagi mencari pesalah yang terlibat, menuntut keadilan serta memberi jaminan perkara sama tidak berulang kepada mana-mana penjawat awam pada masa akan datang. Sekian, terima kasih.
PRESIDEN CUEPACS
HAJI ADNAN MAT