Friday, 22, November, 2024
Utama Politik Buktikan BN mahu PRU cepat kerana kes mahkamah

Buktikan BN mahu PRU cepat kerana kes mahkamah

oleh Ammar Haziq
Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin

BUKTIKAN BN MAHU PILIHAN RAYA CEPAT KERANA KES MAHKAMAH

Membaca tuduhan Menteri Besar Kedah dan beberapa pemimpin Pas lain yang kononnya UMNO mahu pilihan raya umum segera kerana ada kaitan dengan mahkamah beberapa pemimpinnya, adalah sangat menjengkelkan. Ia adalah tuduhan bercakap tanpa fakta, tanpa bukti.

Ditegaskan tidak ada satu pun lagi prosiding mahkamah yang terhenti, terganggu atau tertunda kerana BN/UMNO berkuasa selepas PH tumbang.

Jadi adalah sangat spekulatif untuk membuat andaian bahawa mahkamah boleh sewenang-wenang diarah, diganggu dan disepak terajang untuk memastikan mana-mana pemimpin BN terlepas dari keadilan.

Malah, pandangan sebegitu sangat menghina dan merendah-rendahkan kebebasan, ketelusan serta kebijaksanaan institusi kehakiman negara. Seolah-oleh mahkamah kita ini terlalu kerdil, takut dan tidak berpendirian.

Daripada perspektif ekonomi, kemerosotan aliran masuk FDI sebahagian besarnya bukan sahaja disumbangkan oleh Azmin Ali selaku Menteri MITI yang gagal dan tidak proaktif.

Tetapi juga kebimbangan para pelabur terhadap iklim politik negara yang tidak stabil dan penuh dengan ketidaktentuan. Kebanyakan pelabur besar mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ kerana kerajaan boleh tumbang, dirombak atau ditukar pada bila-bila masa sahaja.

Keadaan ini mewajarkan PRU segara kerana hanya dengan PRU baharu satu kestabilan dapat dicapai. Semakin lama aliran masuk FDI tidak diuruskan dengan cekap, semakin banyak kesan domino dan masalah yang akan muncul seperti pengangguran, ketidakcukupan bekalan barangan keperluan serta inflasi.

Hakikat yang sering dilupakan, PN bukan kerajaan yang diangkat oleh rakyat. Ia hanyalah produk kerjasama politik antara ahli-ahli Parlimen. Begitu juga situasi kerajaan Kedah sekarang, ia bukan kerajaan yang menang menerusi mandat rakyat.

Kita mesti memulangkan mandat pada rakyat. Itu yang terbaik dan paling menyantuni prinsip demokrasi. Kerana, dalam perihal memulangkan mandat pada rakyat untuk memilih Kerajaan, tiada istilah cepat atau awal.

Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok
12 Jun 2022

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com