Friday, 29, March, 2024
Utama Sukan Muhammad Sanusi ‘usik’ JDT lagi

Muhammad Sanusi ‘usik’ JDT lagi

oleh Ammar Haziq
Tangkap layar Facebook Muhammad Sanusi.

ALOR SETAR, 11 Sept. – Kekalahan Terengganu FC iaitu pasukan yang disokong Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam perlawanan akhir Piala FA kepada JDT semalam, tidak menghalang Menteri Besar Kedah itu daripada terus mengusik pasukan Harimau Selatan itu.

Meskipun mengucapkan tahniah kepada JDT atas kemenangan tersebut, namun ucapan berkenaan turut diselitkan dengan kata-kata sinis yang mampu membuatkan para penyokong JDT ‘kepanasan’.

“Tahniah JDT menang Piala FA semalam…

“Sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor,” tulisnya di laman Facebook tersebut.

Bersama ucapan tersebut, beliau turut menyertakan klip video memaparkan dirinya bermain biola dengan muzik latar belakang yang telah diedit, memperdengarkan lagu hindustan popular, Humko Humise Churalo dari filem Mohabbatein.

Dalam pada itu, status dimuat naik Muhammad Sanusi tersebut jelas menarik pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Terdapat dalam kalangan netizen yang menyokong dan ada juga yang mengecam.

Menteri Besar Kedah sebelum ini memberikan sokongan kepada Terengganu pada final Piala FA 2022.

Sebelum ini Muhammad Sanusi secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Terengganu FC dengan alasan isterinya berasal dari negeri itu.

Selain itu katanya, hanya orang Johor saja yang akan menyokong JDT manakala sokongan rakyat lain akan pergi ke Terengganu FC.

‘Perbalahan’ antara Muhammad Sanusi dengan JDT itu turut menarik minat bintang import pasukan Harimau Selatan, Fernando Forestieri untuk menyindir Menteri Besar Kedah itu di laman instagramnya semalam.

“Ini untuk rakan saya, @muhammadsanusimdnor_official. Terima kasih atas sokongan anda, nikmati piala ini,” tulisnya di instagram story sambil turut berkongsi poster JDT bersama Piala FA. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com