LANGKAWI, 12 Okt. – Sehari selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi, UMNO Bahagian itu melalui Timbalan Ketuanya, Nor Saidi Nanyan pula melaungkan keyakinan mengenai kesiap siagaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.
Nor Saidi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah berkata, UMNO Bahagian itu memfokuskan kepada kerjasama semua sayap parti dan akar umbi yang rata-ratanya dilihat menyambut baik pembubaran Parlimen disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam masa sama katanya, pihaknya yakin dan percaya bahawa pengundi di Langkawi akan memilih calon-calon daripada pari yang diyakini boleh memberi khidmat bakti dan jaminan kestabilan demi masa depan lebih baik.
“Saya dan rakan-rakan UMNO Bahagian Langkawi pada waktu ini mahu lebih fokus kepada usaha-usaha membantu rakyat sedaya-upaya kami dengan status sebagai pembangkang di Parlimen ini, pada waktu ini.
“Buat masa terdekat ini, UMNO Bahagian Langkawi dan seluruh 103 cawangan UMNO di Parlimen Langkawi sedang giat membuat persiapan bagi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi yang dijadualkan pada 15 Oktober ini,” katanya.
Tambahnya, UMNO Bahagian Langkawi sedia maklum akan keputusan Tun Mahathir untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.
“Kami berpendapat sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi, seharusnya kita meraikan demokrasi itu.
“Sesiapa saja bebas bertanding di mana-mana kawasan yang dipilih,” katanya.